KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR) dan Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menganugerahkan kontrak Rakan Kongsi Pembangunan Bersama (JDP) bagi Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura kepada konsortium WSP Engineering Malaysia Sdn. Bhd., Mott MacDonald Malaysia Sdn. Bhd. dan Ernst & Young Services Sdn. Bhd.

Tender JDP diadakan pada 22 Ogos 2016 dan ditutup pada 17 Oktober 2016. Keseluruhan lapan tender telah diterima.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MyHSR dan LTA berkata, JDP akan menyediakan sokongan pengurusan projek dan nasihat teknikal sistem dan operasi HSR.

JDP juga akan membangunkan standard teknikal dan keselamatan yang akan digunakan dalam projek tersebut.

Selain itu, JDP akan membantu Pasukan Projek Bersama (JPT) ditubuhkan di antara MyHSR dan LTA dengan persiapan dokumen bagi tender-tender akan datang yang berkaitan projek tersebut dengan pelantikan AssetsCo dan OpCo International.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pelantikan tersebut merupakan petunjuk projek tersebut bakal menjadi realiti.

Tambahnya, konsortium tersebut akan menyertai pasukan MyHSR dan LTA dalam projek pembangunan akan datang.-MalaysiaGazette