Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak perlu memberi tempoh sehingga sebulan untuk mengetahui keputusan hubungan antara parti itu dengan Pas.

Ini kerana, kenyataan terbaharu Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa mereka tidak perlu sujud di kaki Pas telah menamatkan teka teki hubungan politik kedua-duanya.

“Dengan itu, tempoh sebulan adalah tidak perlu. Ia telah menjelaskan dua perkara besar. Pertama, Pas serius dengan pendiriannya menolak DAP dan siapa pun yang ada hubungan dengan DAP.

“Kedua, persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh Pas dan IKATAN semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat berhadapan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Selepas Parti Amanah Negara (PAN) yang juga ditolak kerana pengkhianatannya terhadap Pas, maka PPBM semakin dekat atau secara tidak rasminya juga ditolak oleh Pas,” jelas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, PPBM secara rasmi telah mengukuhkan pendiriannya untuk menjalin hubungan dengan PH, maka kekuatan Pas untuk bergerak sendiri memimpin blok ketiga adalah nyata.

Kerana itu, katanya, DAP, PAN, PKR dan PPBM terus menerus menembak Pas dengan senjata beratnya bahawa Pas adalah rakan UMNO.

“Kerana itu juga, UMNO telah mengurangkan tekanan dan perseteruannya terhadap Pas dengan tujuan yang sama, iaitu untuk menidakkan Pas sebagai satu kekuatan dan pilihan terbaik bagi menggantikan BN mahupun PH.

“Bagi PH, undi Pas adalah undi UMNO. Maka jangan undi Pas. Bagi UMNO pula, undi UMNO adalah undi Pas. Maka undilah UMNO.

“Tujuan mereka walaupun berbeza, tetapi bertemu di satu titik iaitu kemenangan adalah sama ada untuk UMNO dan BN ataupun untuk PH dan hilangkan kemenangan untuk Pas,” ujar beliau dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mengenai persoalan, adakah itu akan menyukarkan Pas kelak, beliau berkata, perjuangan parti itu sentiasa dalam kesukaran, tetapi kemenangan dan kekuatan mereka hari ini adalah hasil daripada kesabaran menempuh kesukaran demi kesukaran.

Jelasnya, Pas sentiasa yakin motivasi perjuangan Islam adalah beriringan dengan kesukaran, tetapi pada masa sama ia memberi kemudahan.

“UMNO tidak mampu lagi selain berbuat baik kepada Pas. Rekod buruk UMNO terhadap Pas mesti dipadamkan demi survival UMNO, manakala PH tidak pula mampu memomokkan rekod buruk Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu sebagai peluru ampuh buat membedil Pas.

“Walaupun mereka benci, tetapi terpaksa akur jasa Pas dalam PR. Jika mereka menidakkan, peluru itu akan melantun balik kepada mereka sendiri.

“Justeru, sebaik-baik senjata mereka untuk membunuh Pas adalah menghujahkan perbuatan baik UMNO kepada Pas sebagai bukti bahawa Pas dan UMNO adalah satu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, DAP menjaja Pas menyokong UMNO, manakala PPBM juga menjaja parti itu makan dedak UMNO dan PKR menjaja Pas menyokong kezaliman.

“PAN hanya ikut kata. Mabuknya belum habis. Setianya dengan DAP memang satu lagenda. Satu dalam sejarah negara,” katanya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, Pas menolak untuk tunduk kepada tekanan musuhnya dan akan kekal melaungkan ingatan kepada umat Islam dan rakyat bahawa penyelesaian terbaik adalah dengan kembali kepada Islam sebagai cara hidup.

“Walau baik mana sekali pun UMNO terhadap Pas, kita akan kekal bersendirian melawannya. UMNO adalah musuh tradisi Pas dalam politik. Jika UMNO ikhlas berbuat baik, itu hak dan kewajiban semua untuk berbuat baik.

“Jika UMNO bersandiwara atau hanya berlakon semasa susahnya kini, lambat laun UMNO pasti akan terjun ke dalam lubang yang digalinya sendiri.

“Pas telah siap siaga menolak sebarang sandiwara. Pas telah lama beriman dan mengajar rakyat bahawa dunia ini adalah sandiwara,” ujarnya. – MalaysiaGazette