Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad menyifatkan barisan kepimpinan PAS kini semakin lemah sehingga membenarkan diri mereka dipergunakan oleh UMNO, khususnya dalam soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).
Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tidak guna untuk Parti Amanah Negara (PAN) hadir ke Himpunan RUU355 anjuran Pas kerana mereka tidak pernah diajak untuk duduk sekali membincangkan pindaan akta tersebut, kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad.

Respon tersebut sebagai mengulas menjelang dua hari himpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung di Padang Merbok dengan beberapa pimpinan dari pihak sebelah kerajaan sudah menyatakan kesediaan untuk turun Sabtu ini bersama memberikan sokongan terhadap Pas.

“Tidak pernah bincang sama, kenapa mahu kami turun sokong, lagi pun Pas sendiri yang membawa usul tersebut.

“Ia suatu yang pelik apabila mereka menjemput kami walhal mereka (Pas) langsung tidak bekerjasama dalam memberi penjelasan berhubung usul yang mereka bawa itu,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam kepada MalaysiaGazette.

Menurut Khalid, pendirian PAN sama dengan kenyataan-kenyataan terdahulu di mana mereka tidak akan menyertai himpunan anjuran Pas itu.

Pas akan mengadakan satu himpunan hujung minggu ini bagi mendapatkan sokongan ke atas Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November tahun lepas di Dewan Rakyat.

Pas menjangka seramai 200,000 orang hadir ke himpunan tersebut yang dijadual bermula pukul 2 petang dan berakhir jam 11 malam.

Sepanjang tempoh itu pelbagai program telah diatur termasuk, menjemput seramai 21 pemidato daripada NGO dan tokoh-tokoh terkemuka tanah air.

Antara penceramah yang disebut Abdul Hadi sendir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr Hasan Ali.

Para peserta diingatkan supaya berhimpun dengan aman dan membuat beberapa persediaan seperti membawa sejadah dan air untuk berwuduk. – MalaysiaGazette