KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) menafikan laporan mendakwa pihaknya dan tujuh lagi individu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah disaman RM20 juta hari ini.

Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abdullah Samsudin berkata, setakat pukul 7 malam tadi pihaknya tidak ada menerima apa-apa notis berkaitan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Malaysiakini hari ini mengenai saman oleh Mohd. Yusoff A. Bakar dan Ahmad Fadzil Hashim.

Mohd. Yusoff dan Ahmad Fadzil merupakan bekas pengarah Yayasan Pembangunan Anak Yatim / Miskin (PEMANGKIN).

Bagaimanapun, menurut Abdullah, PEMANGKIN terlebih dahulu telah pada 29 November 2016 telah menyaman kedua-dua individu itu dan mendapatkan perintah injuksi membekukan kesemua akaun bank mereka bagi melindungi aset serta kepentingan PEMANGKIN.

“Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi dalam kes yang sama telah memberi kebenaran memulakan prosiding terhadap mereka di atas keingkaran mereka bagi mematuhi perintah mahkamah mengarahkan mereka menyatakan aset-aset kepunyaan mereka dan PEMANGKIN,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Abdullah, memandangkan pihaknya masih belum diserahkan dengan writ saman tersebut, pihaknya tidak mengetahui apakah tindakan yang didakwa kepada pihaknya.

Pihaknya juga memohon saman diserahkan kepada pihaknya serta merta bagi membolehkan pihaknya membersihkan nama di mahkamah secepat mungkin.-MalaysiaGazette