Mohd Isa Samad

KUCHING – Kejayaan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) tidak seharusnya dinilai hanya bersandarkan prestasi kewangan sahaja.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kejayaan tersebut harus dilihat dari aspek yang lebih besar seperti penambahbaikan operasi sedia ada, pelaburan jangka panjang, pengukuhan modal insan dan tanggung jawab sosial.

Katanya, jika dilihat secara menyeluruh, terdapat banyak pencapaian direkodkan sejak FGV disenaraikan pada 2012 antaranya peningkatan tanah bukan pajakan, pengeluaran bahan-bahan perladangan bertaraf dunia melalui penyelidikan dan pembangunan serta penubuhan bahagian perdagangan minyak sawit yang disokong oleh aset-aset.

Sehingga ke hari ini, FGV telah meningkatkan tanah bukan pajakan kepada 45,000 hektar di Sarawak, Sabah dan Kalimantan.

Tambah Isa, FGV juga telah meluaskan operasi keluar negara, meningkatkan pengeluaran tenaga diperbaharui, pembangunan modal insan dan penambahbaikan opeasi peladangan serta tanamannya.

“Sekarang FGV adalah pengeluar minyak sawit mentah terbesar, pengendali terbesar minyak boleh dimakan global, pengendali ladanng kelapa sawit ketiga terbesar dunia, pengeluar gula terbesar di Malaysia dan pelbagai lagi perniagaan lain yang berkembang maju,” katanya kepada Bernama.

Jelas Isa, prestasi kewangan FGV yang merosot selepas disenaraikan adalah disebabkan oleh penurunan harga minyak sawit global, pokok-pokok yang telah matang, proses penanaman semula yang agresif serta ketidaktentuan harga minyak global selain permintaan lemah biodiesel.

Harga gula mentah global juga turut memberi impak tidak langsung kepada FGV menerusi anak syarikatnya, MSM Holdings Bhd.

Ketika ditanya mengenai harga saham FGV yang lebih rendah berbanding ketika disenaraikan dahulu, Isa berkata, ia dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang lemah disebabkan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu berkaitan syarikat tersebut.

“Isu-isu tersebut menyebabkan saham FGV lebih tidak stabil berbanding syaikat-syarikat peladangan lain di Malaysia,” tambahnya.-MalaysiaGazette