Azalina Othman Said

PUTRAJAYA – Penasihat DAP, Lim Kit Siang seharusnya menjadi orang pertama yang menyokong penubuhan pasukan petugas (Task Force) yang dipersetujui oleh Kabinet.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana Ahli Parlimen Gelang Latang itu begitu lantang di Dewan Rakyat dengan mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Justeru jelas beliau, ini adalah peluang terbaik untuk Kit Siang membuktikan bahawa usul yang dibawa pada tahun 1993 dan 1994 berkaitan isu ini di Dewan Rakyat itu berasas.

“Beliau seharusnya tampil ke depan untuk membantu Task Force ini dalam meneliti semua fakta-fakta yang berkaitan. Atau adakah beliau telah mengelirukan Dewan pada masa itu?

“Lim Kit Siang sebagai seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman, seharusnya menyokong usaha Kerajaan dan bukannya mempolitikkan perkara ini. Malah kecenderungan beliau untuk berubah-ubah prinsip serta pendirian memperlihatkan sikap tidak konsistennya dan wajar dinilai oleh penyokong-penyokong DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sin hari ini.

Azalina berkata, keputusan Kabinet menubuhkan Task Force itu membuktikan yang kerajaan sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara.

Ujarnya, Kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip rule of law dalam menyiasat apa-apa perkara untuk memastikan tiada sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.

“Kerajaan BN juga sentiasa bersandarkan kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty).

“Oleh yang demikian, Task Force ini akan meneliti dan menilai perkara ini berdasarkan keterangan-keterangan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan,” katanya dalam kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette