KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT)  dan Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) diminta memantau dan meneliti syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia, khususnya entiti tidak memiliki kewangan yang kukuh.

Langkah itu seharusnya dilakukan dari sekarang bagi mengelakkan lebih ramai pekerja-pekerja tempatan menjadi mangsa akibat kegagalan kewangan syarikat-syarikat penerbangan.

Mengambil contoh kes kakitangan kabin Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd. (Eaglexpress), Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa syarikat penerbangan itu masih gagal menyelesaikan hutang-hutang kepada kakitangannya.

Ini tidak termasuk isu Eaglexpress yang telah berulang kali melanggar syarat-syarat kontrak pekerja.

NUFAM berkata, isu kakitangan kabin Eaglexpress telah pun dikemukakan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan disiasat, lantaran itu kesatuan tersebut mahu isu yang dibangkitkan oleh kakitangan diberi keadilan sewajarnya.

“Kita tidak mahu syarikat-syarikat penerbangan yang gagal mematuhi terma-terma kontrak pekerja dikenakan tindakan paling tegas.

“NUFAM memang serius isu ini kerana apa yang berlaku pada Rayani Air tidak dijadikan iktibar. Sampai sekarang kes kakitangan syarikat itu belum selesai. Ini berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai pelanggaran terma kontrak pekerja, NUFAM berkata, klausa secondment atau pemindahan yang digunapakai dalam syarat kontrak pekerja kabin Eaglexpress ke Flynas atau Saudi Airlines jelas sekali bersifat berat sebelah sehingga menyebabkan kakitangan syarikat itu terpaksa menanggung beban dan kesusahan apabila berada diluar negara.

NUFAM mendakwa Eaglexpress telah menghantar pekerja kabin ke luar negara walaupun kontrak “wet lease” pekerja ke luar negara tidak dibincang secara jelas dengan pekerja.

“Tindakan pengurusan Eaglexpress itu telah menyebabkan banyak pekerja kabin mengalami kesusahan dengan tidak menerima gaji dan elaun serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso pada tarikh sepatutnya.

“Ini tidak termasuk ada kakitangan yang diarahkan berada di Jeddah dan terpaksa menanggung hidup mereka, termasuk terpaksa membayar tiket mereka sendiri untuk pulang ke tanah air atas sebab tidak tahan dengan keadaan di negara sana,” katanya.

Sehubungan itu, NUFAM mahu kes-kes yang melibatkan pelanggaran terma kakitangan kabin diadili secara tegas agar memberi pengajaran kepada industri. – MalaysiaGazette