Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal kehilangan pengadil yang mengendalikan beberapa perlawanan terbesar dunia termasuk final Euro 2016, Mark Clattenburg yang secara tiba-tiba berhijrah Arab Saudi, semalam.

LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal kehilangan pengadil yang mengendalikan beberapa perlawanan terbesar dunia termasuk final Euro 2016, Mark Clattenburg apabila secara tiba-tiba berhijrah ke Arab Saudi, semalam.

Clattenburg akan menggalas peranan selaku ketua pengadil di Arab Saudi bagi menggantikan Howard Webb selepas bekas pengadil final Piala Dunia 2010 itu dilantik Liga Bola Sepak Major Amerika bagi mengetuai pembangunan teknologi video untuk pengadil di atas padang.

Sebelum ini, Clattenburg, 41, pernah mendedahkan rancangannya meninggalkan England ketika temu ramah bersama The Associated Press (AP).

Tarikh sebenar Clattenburg meninggalkan Liga Inggeris belum diumumkan secara rasmi.

“Wang bukanlah faktor utama sebagai pengadil,” kata Clattenburg kepada AP pada Disember lalu.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Adel Ezzat semalam, badan itu memutuskan untuk membawa masuk pengadil terbaik di dunia.

Beliau berkata, Clattenburg bertanggungjawab untuk membuat penilaian terhadap pengadil, namun pada masa diberikan antara tiga hingga empat perlawanan untuk diadili setiap bulan.

Clattenburg dijadualkan mengadili perlawanan Liga Juara-Juara antara Barcelona dan Paris Saint-Germain bulan depan namun tidak jelas sama ada dia kekal dalam senarai dua badan induk, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Clattenburg diingati kerana mengadili final Euro 2016 yang menemukan Perancis dan Portugal selain final Liga Juara-Juara dan Piala FA tahun lalu.

Dia mula dilantik pengadil FIFA pada 2006 dan turut mengendalikan final bola sepak di Sukan Olimpik 2012 di London. – MalaysiaGazette