Hamidah Osman

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini berkata Pas sememangnya celaru dan keliru dengan membuat dua kenyataan yang berbeza mengenai kerjasama dengan parti itu semalam.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, percanggahan pendapat antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man jelas mencerminkan kedua-dua pemimpin berkenaan tidak sependapat dalam membuat kenyataan.

Dakwa Hamidah, perkara itu nyata menyukarkan lagi proses rundingan antara kedua-dua parti dalam menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kelak.

“Macam ada kecelaruan di pihak Pas, ada percanggahan pendapat antara Presiden dengan Timbalan Presiden. Kalau kita tengok kenyataan Presiden sebelah paginya kata lain, sebelah petang pulak Timbalan Presiden kata lain.

“Seperti ada dua pendapat yang dipamerkan Presiden dan Timbalan Presiden. Saya yakin perkara ini menjelaskan integriti atau pun kepercayaan rakyat kepada Pas seolah-olah Pas tidak sepakat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan serpihan PAS.

Kenyataan itu nyata bercanggah dengan kata-kata Tuan Ibrahim dalam satu sidang media di ibu negara semalam.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim bingkas menafikan berlaku sebarang percanggahan antara beliau dan Hadi dalam isu itu.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas masih dalam proses perundingan untuk memeterai kerjasama politik dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Kita (PPBM) keliru kepada siapa yang kita nak percaya, samada Presiden atau Timbalan Presiden kerana sebelum ini kita mengadakan perbincangan dan pertemuan yang diketuai oleh Timbalan Presiden.

“Saya tidak faham apa yang berlaku dalam Pas, semua ini nampak mengelirukan,” ujar Hamidah mengenai kenyataan Tuan Ibrahim semalam.

Hamidah dalam pada itu berkata, Pas dinasihatkan agar berpijak di bumi yang nyata bahawa sekiranya pembangkang berpecah menjelang PRU 14, maka perkara itu akan memberikan kelebihan kepada UMNO.

“Kita tidak akan mencapai matlamat untuk menjatuhkan BN. Semua pihak (termasuk Pas) perlu bersatu hati dalam perkara ini.

“Sebagai parti yang bermatlamat untuk menyelamatkan negara dan mengalahkan UMNO saya rasa kita kena usaha bersungguh-sungguh supaya kita dapat kata sepakat untuk satu lawan satu.

“Jadi kesungguhan kita itu harus dinilai tapi saya tidak faham pandangan Pas seolah-olah mereka tidak serius dengan soal ini,” katanya.

Pas-PPBM sebelum ini giat menjalankan rundingan berhubung kerjasama politik antara kedua-dua parti dalam platform pembangkang bagi memperkasakan gabungan berkenaan dalam menghadapi UMNO pada PRU akan datang.

Malah satu draf kerjasama telah dicapai kedua-dua parti sebelum ini dalam rundingan yang diketuai oleh Tuan Ibrahim dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada awal Februari. – MalaysiaGazette