Petugas-petugas media tempatan dan antarabangsa menunggu di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara bagi melaporkan berita terkini berikutan kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam yang mati dibunuh kelmarin, di Hospital Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat hari ini menafikan dakwaan berlaku bedah siasat kali kedua terhadap mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Menurut Abdul Samah, dakwaan itu hanyalah bersifat khabar angin dan tiada bedah siasat kali kedua akan dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya menafikan spekulasi berkenaan. Jika bedah siasat kali kedua dilakukan ia memerlukan perintah mahkamah untuk dilaksanakan,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menepis dakwaan Korea Utara bahawa Malaysia sengaja melengahkan proses penghantaran pulang mayat Kim Jong-nam.

Ujarnya, selagi sampel DNA daripada waris tidak diperolehi dan dianalisa bagi melengkapkan siasatan, Korea Utara harus mengikuti peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara ini.

Isnin lalu Jong-nam, 46 berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi menunggu penerbangan ke Macau maut apabila seorang wanita menyembur sejenis cecair dan menggosok mukanya dengan kain.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sehingga kini polis telah menahan empat suspek berkaitan dengan pembunuhan Jong-nam.

Polis menahan suspek pertama yang memegang pasport Vietnam pada Rabu.

Suspek kedua, bernama Siti Aisyah yang memegang pasport Indonesia, ditahan pada hari berikutnya dan teman lelakinya turut ditahan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan siasatan, polis sedang mencari tiga lagi lelaki berkaitan dengan pembunuhan itu. – MalaysiaGazette