JOHOR BAHRU, 19 Feb -- Fatimah Nasir, 43, (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kejadian yang meragut nyawa anaknya, Danish Zulkefli, 14, yang maut bersama tujuh lagi remaja akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan awal pagi semalam ketika menerima kunjungan Pengerusi Wanita, Keluarga dan Masyrakat Asiah Md Ariff, hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU – “Cukup-cukuplah. Saya amat berharap masyarakat hentikan tular yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa,” demikian kata Fatimah Nasir, ibu kepada seorang daripada mangsa insiden berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam.

Menurut laporan Bernama, Fatimah berkata semua ibu bapa sentiasa sayang dan mengambil berat tentang anak mereka sekali gus tidak mengabaikan anak seperti didakwa masyarakat.

“Mereka (masyarakat) tidak rasa apa yang kami rasa, saya tidak ada kuasa untuk menyekat tular, namun, saya mohon agar ia segera dihentikan,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai tular di laman sosial yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa atas insiden berbasikal mengorbankan lapan nyawa, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang membantu pengurusan tuntutan insurans dengan bantuan keluarga mangsa.

Pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor, khidmat kaunseling akan diberikan kepada keluarga mangsa, katanya.

“Pihak sekolah juga diingatkan supaya sentiasa memberikan peringatan kepada murid berhubung keselamatan di luar kawasan sekolah terutama aktiviti pada waktu hujung minggu dan cuti sekolah.

“Saya amat berharap pemantauan ibu bapa terhadap keluar masuk anak-anak di rumah sentiasa diambil berat. Remaja diperingkat umur 13 hingga 17 tahun ini memang sentiasa mencuba sesuatu yang diluar kebiasaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Md. Jais, kejadian seumpama ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua masyarakat.-MalaysiaGazette