Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengulangi sokongan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibawa di Dewan Rakyat.

Beliau ia bukan bersifat menghukum tapi sebaliknya untuk mendidik.

Zulkifli berkata, undang-undang Islam yang termaktub dalam al-Quran adalah milik Allah dan bukan milik sesiapa dan petunjuk Allah adalah yang sebaik-baiknya.

“Mahkamah (Syariah) perlu didaulat, undang-undang yang termaktub dalam al-Quran merentasi bangsa kerana ia milik Allah dan bukan milik sesiapa.

“Walau apa keadaan sekali pun, apabila kita bertemu dengan Allah maka kita akur, kita dengar dan kita taat, kita yakin petunjuk Allah adalah yang sebaiknya,” kata Zulkifli dalam tazkirah semasa Himpunan RUU355 di Padang Merbok malam ini.

Zulkifli berkata, agama Islam  bersifat toleransi dan tidak perlu dibimbangi dengan undang-undang Islam yang lebih bertujuan mendidik bukan menghukum.

“Apa yang kita lakukan tidaklah sempurna, tapi kita menuju kesempurnaan. Kita sama-sama mengharmonikannya kerana Islam penuh dengan sifat toleransi.

“Sesiapa usah bimbang dengan undang-undang Islam kerana ia bukan bersifat menghukum tapi bersifat mendidik,” katanya.

Perhimpunan RUU 355 hari ini dianjurkan Pas dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Pada 24 November lalu, Abdul Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini. – MalaysiaGazette