Home Nasional Jurutera MAIDAM didakwa kemuka tuntutan palsu

Jurutera MAIDAM didakwa kemuka tuntutan palsu

Syed Ahmad Izzuddin Syed Abdullah diiringi anggota polis di di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana didakwa mengemukakan tuntutan palsu pembekalan dan pemasangan karpet di Surau Al-hijrah dua tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – Bekas Penolong Jurutera Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan dan pemasangan karpet di Surau Al-hijrah bernilai RM6,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, Syed Ahmad Izzuddin Syed Abdullah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Syed Ahmad didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat MAIDAM pada 29 Disember 2015 dengan memperakui kerja-kerja pemasangan karpet di surau berkenaan dibuat dengan sempurna sedangkan pemasangan karpet tersebut tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Bagi pihak SPRM, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahida Muslimah Roslan. – MalaysiaGazette