Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang menawarkan diri menjadi penceramah dalam siri jelajah Barisan Nasional (BN) berhubung skandal mata wang asing Bank Negara Malaysia.

Bagaimanapun, Penasihat DAP itu meletakkan syarat beliau dibenarkan menyentuh soal skandal BMF dan 1MDB sekali.

Saya mengisytiharkan kesediaan saya untuk bersama-sama badan penyiasatan kerugian urusniaga pertukaran wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi bidang tugasnya perlu diperluaskan kepada skandal BMF dan juga 1MDB.

“Annuar Musa (Ketua Penerangan UMNO) patut memaklumkan kepada saya dalam masa 48 jam sama ada saya perlu menyusun semula program saya bermula 25 Februari dan ke atas untuk membolehkan saya berucap dalam majlis roadshow yang akan dilancarkan Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Itu kenyataan sinikal daripada Kit Siang yang pada mulanya nampak seakan mahu bekerjasama namun di sebaliknya tetap dengan agenda mengkritik kerajaan.

Annuar semalam mengumumkan akan mengadakan siri penerangan memandangkan ada pihak yang cuba membandingkan dengan isu 1MDB dengan skandal kewangan negara dua dekad lalu yang disifatkan tidak relevan.

Siri jelajah berkenaan akan mula digerakkan bermula Mac ini bagi menjelaskan secara terperinci keputusan Kabinet yang menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kerugian berkenaan.

Seri penerangan pertama akan bermula pada Sabtu depan di Parlimen Hulu Selangor sebelum siri berkenaan bergerak ke kawasan-kawasan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said minggu lalu mencabar Kit Siang untuk menjadi orang pertama yang menyokong penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kerugian urus niaga asing melibatkan Bank Negara.-MalaysiaGazette