Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Pelbagai tohmahan Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea termasuk mendakwa Malaysia bersengkongkol dengan negara-negara asing berhubung siasatan kes kematian seorang lelaki negara itu merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Duta Besar itu bermotifkan politik dan bukan bertujuan untuk mengetahui punca kematian dan mengesan saspek-saspek yang terlibat.

“Apabila Duta Besar dipanggil oleh Kementerian Luar Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Dua Hala telah menekankan penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa. Ia juga telah dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan-peraturan Malaysia.

“Apa jua tohmahan yang dibuat menyangkal hakikat ini, atau pun apa jua tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia,” tegas beliau dalam kenyataan di sini.

Anifah menambah, penyiasatan polis berdasarkan kesemua petunjuk yang ada dan petunjuk-petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya.

Petunjuk-petunjuk tersebut mungkin melangkau dan dalam sesetengah kes, tidak ada hubungkaitnya dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahupun entiti-entiti lain, katanya.

Menurut beliau, mana-mana negara bertamadun pun akan menyiasat kes seumpama itu secara komprehensif dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk berbuat demikian.

Anifah berkata, sudah menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara tuan rumah untik memastikan siasatan dijalankan dengan terperincinya dan bukannya bertujuan untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap siasatan.

Katanya, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu, ujarnya. – MalaysiaGazette