MADRID – Bintang sensasi Barcelona, Neymar akan dibicarakan di mahkamah selepas gagal dalam rayuan akhir berhubung tuduhan kes rasuah.

Pemain antarabangsa Brazil itu berdepan hukuman dua tahun penjara jika didapati bersalah berikutan dakwaan melibatkan perpindahan Neymar dari Santos ke Barcelona empat tahun lalu.

Kedua-dua kelab tersebut gagal dalam rayuan untuk mengenepikan tuduhan tersebut dan kes berkenaan akan dibicarakan.

Pihak pendakwaraya mencadangkan denda sebanyak AS$9 juta (RM40) dikenakan ke atas Barcelona manakala kelab Santos perlu membayar sebanyak AS$7 juta (RM26 juta).

Kes itu dibangkitkan selepas kumpulan pelaburan Brazil, DIS mengemukakan aduan apabila mendakwa kedua-dua kelab terbabit gagal membayar 40 peratus daripada hasil perpindahan Neymar yang dianggarkan berjumlah AS$37 juta (RM166 juta).

Selain itu, syarikat berkenaan mendakwa jumlah yang mereka peroleh hasil perpindahan Neymar jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan.

Neymar menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak AS$60 juta (RM271 juta) pada 2013.

Antara yang turut berdepan dakwaan tersebut termasuk ibu dan syarikat yang dikendalikan oleh pemain berusia 25 tahun tersebut.

Kesemua yang terlibat tidak boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dan tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan. – MalaysiaGazette