Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Muhammad Hilman Idham dilihat melatah ekoran laporan terhadapnya dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Gabungan NGO Selangor hari ini.

NGO tersebut hari ini membuat aduan berhubung kemewahan melampau milik Muhammad Hilman dan menuntut supaya SPRM menyiasat rangkaian kepada urus tadbir negeri Selangor yang didakwa mungkin mempunyai kaitan dengan syarikat milik mereka.

Muhammad Hilman dalam entri di akaun Facebooknya mempertahankan kekayaan yang dimilikinya dengan menyifatkan ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Ramai yang minta saya respon tentang laporan SPRM ke atas saya petang tadi dan tuduhan kekayaan yang luar biasa.

“Laporan yang sama telah dibuat tahun lalu, SPRM telah siasat, saya dah beri kerjasama. Isteri saya juga beri kerjasama untuk siasatan biar pun ketika itu dalam ‘pantang’ selepas melahirkan anak kami,” kata Muhammad Hilman.

Menurut Muhammad Hilman kes siasatan ke atasnya sudah selesai dan kes ditutup tetapi pihak tertentu dilihat masih cuba untuk mengungkit cerita tersebut.

Memandangkan ada pihak tertentu yang berterusan membuat fitnah ke atas beliau, Muhammad Hilman berkata, akan membuat laporan polis terhadap pihak tersebut.

“Berikutan fitnah yang terus berleluasa, saya akan buat laporan polis terhadap aduan palsu yang dibuat ke atas saya kepada SPRM,” katanya lagi.

Dalam aduan hari ini, kumpulan NGO tersebut juga menyerahkan kandungan dokumen laporan keratan gambar kekayaan yang dimiliki mereka berdasarkan semakan di laman sosial serta dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan sebagainya. – MalaysiaGazette

Gabungan NGO lapor kemewahan luar biasa pegawai MB Selangor

Comments are closed.