Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat 3.2 peratus pada bulan Januari 2017 kepada 118.2 daripada 114.5 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Statistik Negara.

Antara kumpulan yang mencatatkan peningkatan adalah Pengangkutan (8.3 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (4.0 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.2 peratus), kesihatan (2.5 peratus), restoran & hotel (2.1 peratus), pendidikan (2.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api Lain (1.9 peratus).

Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 8.3 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Januari 2017, setelah turun 0.6 peratus dan 1.5 peratus pada Disember 2016 dan November 2016.

Harga purata seliter petrol RON95 adalah RM2.10 pada Januari 2017 berbanding RM1.85 pada Januari 2016.

Bagi petrol RON97, harga purata meningkat kepada RM2.40 pada Januari 2017 daripada RM2.25 pada Januari 2016.

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.0 peratus pada Januari 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks sub kumpulan makanan minyak dan lemak (37.9 peratus); sayur-sayuran (7.8 peratus); ikan & makanan laut (6.1 peratus) dan buah-buahan (2.1 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada Januari 2017, dengan kenaikan 3.6 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan Januari 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah kobis bulat (49.6 peratus); minyak masak (47.2 peratus); sotong (10.7 peratus); udang (8.6 peratus); ikan kembong (8.5 peratus); ikan Tenggiri (6.6 peratus) dan ikan Merah (3.7 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti bawang kecil (14.0 peratus); bawang besar (7.3 peratus) dan tembikai (1.1 peratus).

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol merekodkan kenaikan lebih tinggi daripada kadar IHP keseluruhan.

Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Lima negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional bagi Januari 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 5.1 peratus di Melaka, 5.0 peratus di Johor, 4.9 peratus di Pulau Pinang, 4.5 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 4.4 peratus di Kedah dan Perlis.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 0.9 peratus pada Januari 2017, setelah naik 0.6 peratus pada Disember 2016.

Sementara itu, indeks kumpulan bukan makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus pada Januari 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi Januari 2017 meningkat 1.1 peratus berbanding Disember 2016

Inflasi teras naik 2.3 peratus pada Januari 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan pengangkutan (3.3 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (3.3 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.2 peratus); kesihatan (2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.4 peratus). – MalaysiaGazette