Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menepis dakwaan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) bahawa parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan berpecah tidak lama lagi.

Menurutnya, kenyataan itu datangnya daripada pihak yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa Pas masih bertahan walaupun pernah dilanda kemelut dalaman sehingga tertubuhnya PAN dua tahun lalu.

“Kenyataan seorang pemimpin PAN bahawa Pas akan berpecah tidak lama lagi adalah satu pandangan dari orang yang mahu lari dari kenyataan.

“Adalah satu kenyataan PAN gagal menggugat Pas malah gagal menarik ratusan ribu ahli Pas kepada PAN sepertimana yang didakwa mereka sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub mendakwa, Pas kini berdepan dengan perpecahan akibat melibatkan diri dalam kerjasama dengan UMNO.

Bekas Naib Presiden Pas itu juga mendakwa, Pas kini terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah dan menunggu masa beberapa bulan akan datang untuk menjadi kenyataan.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Iskandar berkata dakwaan bahawa Pas kini di ambang perpecahan nyata meleset dan boleh dibuktikan dengan kehadiran 20,000 peserta pada Himpunan RUU355 Sabtu lalu di Padang Merbok.

“Himpunan menyokong RUU355 ternyata telah membuktikan ahli-ahli Pas masih komited bersama agenda perjuangan parti.

“Oleh itu tidak nampak sebarang tanda bahawa Pas akan berpecah. Perpaduan ahli-ahli Pas begitu terserlah pada perhimpunan tersebut,” jelas Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor. — MalaysiaGazette