KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik oleh Kabinet sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Terma rujukan Pasukan Petugas Khas itu adalah untuk menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian BNM dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, penetapan terma rujukan yang spesifik adalah penting sebagai langkah permulaan bagi mendapatkan fakta berkaitan, termasuk menganalisis semua Penyata Rasmi Mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit Mesyuarat Jemaah Menteri terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara, dokumen BNM dan sebagainya.

Pasukan itu juga akan menyiasat sejauh mana wujud tindakan menyembunyikan maklumat kerugian dan mengkaji jika terdapat perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya pada mesyuarat Parlimen.

Pasukan itu akan mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, jika perlu, berdasarkan hasil siasatan itu kelak.

Siasatan akan dijalankan secara telus, bebas dan adil sejajar.

Kenyataan itu menambah ahli-ahli Pasukan Petugas Khas yang lain akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mereka terdiri dalam kalangan yang berpengalaman, memiliki kepakaran tertentu untuk membantu melaksanakan tugas penemuan dan penzahiran dokumen bagi mendapatkan fakta sebenar berkaitan urus niaga mata wang asing BNM ketika itu. – MalaysiaGazette