SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan yang direman bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan pemberian projek bernilai hampir RM1 juta kepada syarikat isterinya, dibebaskan hari ini.

Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 62 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atasnya berakhir hari Rabu.

Majistret membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan beliau membayar wang jaminan tersebut.

Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi Rabu lepas menerusi Op Nafas yang dilancarkan SPRM kerana didakwa menggunakan kedudukan dengan menganugerahkan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.

— BERNAMA