Khairul Azhar Harun (lima kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil daripada Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 23 Februari 2017.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional (BN) memberi kata dua kepada kerajaan iaitu mengkaji semula hubungan diplomatik atau menamatkan perjanjian tanpa visa dengan Korea Utara.

Menurut Naib Ketua Pemudanya, Senator Khairul Azwan Harun, tindakan biadap kedutaan Korea Utara dalam kes pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-nam tidak dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan tidak rugi apa-apa jika tiada hubungan diplomatik dengan negara itu, yang dianggap sebagai sombong dan angkuh.

“Kita mahu kerajaan melalui Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik ini secepat mungkin.

“Kalau mereka boleh mempersoal dan mempertikaikan proses perundangan negara kita, mereka juga boleh dengan secara biadap tidak menghormati kedaulatan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan nota bantahan di Kedutaan Korea Utara di sini, hari ini.

Beliau bersama kira-kira 50 wakil Pemuda UMNO dan BN menyerahkan nota bantahan itu kepada seorang pegawai di pintu masuk ke bangunan kedutaan berkenaan.

Kata Khairul Azwan, Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Duta Korea Utara, Kang Chol yang dilaporkan berkata, negaranya tidak percaya cara Malaysia mengendalikan siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un.

Jong-nam dibunuh di klia2 minggu lepas, dipercayai oleh ejen Korea Utara sendiri.

Beliau turut memberi amaran kepada Kedutaan Korea Utara, jika masih bersikap biadab terhadap kerajaan Malaysia, Pemuda UMNO, Pemuda BN dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan kedutaan itu.

Ini katanya, sebagai isyarat kepada kedutaan berkenaan agar bersikap lebih bertamadun dan menghormati negara tempat mereka berkhidmat serta tidak sekali-kali mencampuri urusan pentadbiran mahupun keselamatan. – MalaysiaGazette