Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol membaca kenyataan media berhubung pendirian Pyongyang mengenai kematian Kin Jong-Nam.

SEOUL – Pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam baru baru ini akan meningkatkan langkah Amerika Syarikat (AS) memasukkan Korea Utara ke dalam senarai negara yang menaja keganasan jika Pyongyang didapati terbabit dalam jenayah itu, kata seorang pegawai Kementerian Luar Korea Selatan.

Kim Jong-nam yang merupakan anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu selepas beliau diracun oleh dua wanita. Ketika kejadian, Jong-nam sedang menunggu penerbangan ke Macau.

Polis Malaysia menamakan lapan warga Korea Utara, termasuk seorang diplomat, sebagai suspek dan empat daripada mereka telah pulang ke Pyongyang. Korea Utara menafikan negara itu di belakang pembunuhan tersebut.

“Satu rang undang-undang untuk meletakkan balik Korea Utara dalam senarai keganasan telah dicadangkan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini, dan timbul pula pembunuhan Kim Jong-nam,” kata Naib Menteri Luar, Lim Sung-nam kepada ahli parlimen semasa mesyuarat jawatankuasa parlimen hal ehwal luar negara.

“Apabila pihak berkuasa Malaysia selesai kajian menyeluruh fakta berkaitan dan pengumuman (keputusan), ia boleh memberi momentum kepada penyenaraian semula,” tambah beliau.

“Sudah pasti kerajaan akan berunding dengan AS dalam perkara ini,”.

Korea Utara termasuk dalam senarai negara penaja keganasan oleh AS selepas ia didapati terlibat dalam pengeboman pesawat penumang Korean Air pada 1987 yang meragut 115 nyawa.

Bagaimanapun negara itu dikeluarkan daripada senarai tersebut pada 2008 berikutan kemajuan rundingan pemansuhan nuklearnya.

Ahli Dewan Perwakilan AS memperkenalkan rang undang-undang yang mahu memasukkan semula Korea Utara ke dalam senarai keganasan pada Januari lalu berikutan peningkatan tindakan provikatif negara itu.