KUALA LUMPUR – Cagamas Bhd telah menerbitkan nota kadar terapung (FRN) setahun bernilai RM300 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman gadai janji daripada sistem kewangan.

“FRN telah berjaya diterbitkan melalui penempatan persendirian dan pada harga yang kompetitif pada lima mata asas berbanding kadar penanda aras KLIBOR tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menambah, FRN jangka pendek adalah pelaburan alternatif yang menarik bagi para pelabur untuk mengurangkan pendedahan risiko kadar faedah dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat.

Katanya, nisbah terhadap bidaan masing-masing adalah 2.5 kali dan 3.4 kali bagi RM4 bilion untuk 15 tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan RM4 bilion bagi Terbitan Pelaburan Kerajaan 10 tahun, menunjukkan terdapat kecairan yang mencukupi dan permintaan bagi bon pelaburan gred tinggi dalam sistem kewangan domestik. – MalaysiaGazette