Ketua Pengarah jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali (dua kiri) dan Priseden AOC, Mokhtar Othman (dua kanan) pada sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.

SEPANG – Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali hari ini mengelak daripada menjawab atau mengulas sebarang soalan berkaitan keselamatan yang membabitkan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam.

Ia termasuklah kebocoran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 insiden pembunuhan itu melibatkan suspek wanita Vietnam pada 13 Februari sekitar 8.30 pagi.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali turut memilih untuk tidak menjawab sebarang soalan berkaitan CCTV melibatkan kes Jong-nam.

Terdahulu Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria menjelaskan kepada lebih 60 pemberita dalam dan luar negara mengenai sidang media tersebut.

Lebih ramai pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul seawal 9 pagi lagi untuk menghadiri sidang media bersama Mustafar dan Badlisham sekitar pukul 11.45 pagi tadi.

Nik Anis menjelaskan sidang media berkenaan adalah berkaitan pengoperasian imigresen dan lapangan terbang dari semasa ke semasa.

Beliau juga menjelaskan sebarang soalan berkaitan kes Korea Utara tidak akan dilayan atau dijawab dalam sidang media tersebut.

Para pemberita telah mengajukan soalan berbangkit berhubung siasatan terhadap CCTV insiden Jong-nam di klia2 dan beberapa soalan berkaitan insiden itu.

Bagaimanapun kedua-dua pengurus tertinggi agensi yang berkaitan memilih untuk tidak menjawab soalan wartawan dan hanya melayan soalan berkaitan kelancaran operasi lapangan terbang.

Para pengamal media hampa dalam usaha mendapatkan komen mereka mengenai perkembangan terbaru kes tersebut yang menerima perhatian antarabangsa sejak 10 hari lalu. – MalaysiaGazette