Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memegang anak kambing kacukan SAANEN dari Switzerland turut serta Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis (dua kanan) dan Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan) ketika melawat ruang pameran selepas Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mines, The Mines, Seri Kembangan. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

SERI KEMBANGAN – Kerajaan meluluskan pembukaan Pusat Sehenti Visa yang kelima di China bagi menarik pelancong dari dua wilayah di negara itu iaitu Xiamen dan Fujian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat sehenti itu dibuka dengan serta merta.

Menurutnya, pada ketika ini, Pusat Sehenti Visa lain di China ialah di Shanghai, Beijing, Guangzhou dan Kunming.

Beliau berharap dengan pembukaan pusat sehenti itu akan mampu menarik sehingga sejuta pelancong dari wilayah itu ke Malaysia pada tahun ini.

Jelasnya, beliau akan mengarahkan Jabatan Imigresen dan vendor berkenaan untuk melaksanakan arahan tersebut dengan segera.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa saya bersetuju untuk mengarahkan pihak vendor untuk membuka pusat sehenti lain di bandar sedang membangun di seluruh China bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong negara itu ke Malaysia.

“Saya harap, apabila perluasan ini dibuat, ia tidak akan disalahgunakan. Kita tidak akan berkompromi dari segi keselamatan dan menjaga kesejahteraan sosial di Malaysia.

“Kita mahu mereka (pelancong) datang untuk berbelanja, membeli atau menikmati produk pelancongan kita. Bukan datang ke Malaysia untuk bekerja di lewat malam atau di tempat yang akhirnya mereka membawa duit keluar dari Malaysia ke negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pameran pelancongan Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) di sini, petang tadi.

Dalam perkembangan sama Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada MITA bagi membantu mereka menganjurkan pameran itu dengan lebih hebat pada tahun depan.

Beliau juga mencabar penganjur supaya menarik lebih ramai penyertaan pempamer di pameran itu tahun depan iaitu 1,000 pempamer berbanding 650 tahun ini.

“Dengan bantuan peruntukan daripada kerajaan ini, kita juga berharap dapat membantu MITA mengurangkan lagi harga sewa tapak di pameran mereka, sekali gus menarik lebih banyak penyertaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette