KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan pelupusan beberapa aset agensi itu di London akan mencatatkan keuntungan.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Shahrir berkata, persetujuan untuk menjual sudah dibuat selepas mesyuarat Lembaga Pengarah menerima laporan penuh prestasi kewangan pada Isnin lalu.

Keuntungan penjualan aset akan diperoleh menerusi kadar pertukaran mata wang, kata Shahrir yang turut menjelaskan proses penjualan akan dibuat secara tender terbuka dan syarikat penilaian kini sedang membuat penilaian sepenuhnya.

“Selain nilai keuntungan yang bertambah, kita (Felda) turut mencatatkan untung daripada segi kadar pertukaran mata wang.

“Bagi penjualan aset di London, pen­jualan­nya akan dibuat secara tender terbuka dan kini dalam penilaian se­penuhnya daripada syarikat penilaian di UK,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Raya Desa Belantik, Taman Sri Stulang semalam

Sementara itu, Shahrir berkata, Felda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melakukan pembelian aset atau pelaburan baharu dalam tempoh terdekat, sebaliknya mahu memperkemaskan semula pelaburan sedia ada.

“Pada masa ini, apa yang mustahak buat Felda ialah untuk mengemaskan semula pelaburan sedia ada dan mahu mendapatkan pulangan daripada pelaburan yang sudah kita buat,” katanya. – MalaysiaGazette