KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap mencalonkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Sehubungan itu, PKR mengingatkan rakan-rakan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak sekali-kali mencalonkan pemimpin lain selain Anwar.

Menurut Bendaharinya, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, mesej yang disampaikan beliau itu jelas untuk pengetahuan kepada rakan sekutunya lain termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Anwar tetap pilihan utama kami sebagai Perdana Menteri dan parti lain tidak ada hak untuk menamakan orang lain termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamed mahu pun Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya memberi peringatan ini kerana masih ada perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PH sendiri termasuk PPBM mengenai siapa yang akan mengetuai kerajaan Persekutuan sekiranya PH menang,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Yee Kew mengakui, berdasarkan desas desus parti komponen dalam PH, ada yang mahu mengangkat pemimpin masing-masing sebagai Perdana Menteri.

“Saya sebagai pemimpin PKR mengatakan tidak. Perdana Menteri bagi kerajaan PH ialah tetap Anwar,” tegasnya.

Ketika ini , antara nama disebut-sebut sebagai Perdana Menteri jika PH menang ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dari DAP, Dr. Mahathir dan Muhyiddin dari PPBM.

Kata beliau, nama Anwar telah dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada Konvensyen Pakatan Harapan 2016 yang bersidang akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette