KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BHB) mengumumkan peningkatan
keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM34.8 juta atau 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM869.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Kumpulan dan anak-anak syarikat utamanya, Bank Islam dan Takaful Malaysia telah mencatatkan keuntungan tahap tertinggi dalam sejarah setakat ini.

Keuntungan bersih diagihkan kepada pemegang saham meningkat 2.1 peratus atau RM11.8 juta kepada RM559.0 juta, dengan pulangan ekuiti pra-cukai pada 22.0 peratus manakala pulangan aset pra-cukai adalah 1.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BHB, Datuk Seri Zukri Samat berpuas hati kerana berjaya mencatatkan keuntungan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi sukar.

Dengan memberi tumpuan kepada kekuatan BHB, kumpulan kekal berdaya tahan dengan di dorong oleh pertumbuhan pendapatan anak-anak syarikat utama kami, Bank Islam dan Takaful Malaysia.

“Adalah jelas keadaan ekonomi 2017 tidak akan bertambah baik dalam jangka masa terdekat, bermakna kami akan lebih berwaspada dalam mengambil risiko dan akan membina kekuatan untuk mengembangkan perniagaan kami,” katanya.

Menurut beliau, kumpulan Bank Islam (Bank Islam) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai RM720.4 juta pada tahun lalu, menokok sebanyak RM34.7 juta atau 5.1 peratus berbanding RM685.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan berasaskan dana daripada pembiayaan meningkat sebanyak 12.8 peratus seiring dengan pertumbuhan pembiayaan bersih.

Sementara itu, pendapatan berasaskan bukan dana meningkat sebanyak 17.3 peratus yang disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan pelaburan dan pendapatan berasaskan fi.

Pertumbuhan pembiayaan Bank Islam kekal sihat dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 14.3 peratus atau RM4.9 bilion untuk mencapai RM39.2 bilion pada 31 Disember 2016.

Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM221.0 juta tahun lalu peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding dengan RM204.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan yang lebih tinggi ini adalah dari pendapatan bersih lebih tinggi yuran wakalah.

Hasil operasi Takaful Malaysia meningkat 12.6 peratus tahun lalu kepada RM2.013 bilion berbanding RM1.788 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini adalah disebabkan oleh jualan lebih tinggi yang dihasilkan oleh kedua-dua Takaful Keluarga dan Takaful Am. – MalaysiaGazette