Dua wanita, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam.

SEPANG – Peguam Negara, Tan Sri Moha­med Apandi Ali mengesahkan dua saspek wanita yang terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini esok.

Kedua-dua suspek wanita itu Doan Thi Huong, 29, dan Siti Aishah, 25, masing-masing berasal Vietnam dan Indonesia.

Apandi berkata. Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan daripada polis baru-baru ini.

“Kertas siasatan kes ini telah diterima dan kami akan meneliti kandungan faktanya, saspek akan didakwa di mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dua wanita berkenaan telah direman sejak 16 Februari lalu bagi membantu siasatan kes berprofail tinggi itu.

Jong Nam abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-un meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada 13 Februari lalu selepas kepalanya diserkup.

Semasa kejadian, mangsa sedang menunggu penerbangan ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara mengesahkan analisa awal Jabatan Kimia mendapati Jong-nam mati akibat agen saraf VX.

Analisa itu diambil daripada eksibit swab pada muka dan kedua-dua matanya.

Dalam pada itu, hampir 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berada sejak awal pagi di perkarangan Mahkamah Sepang selepas dimaklumkan kedua-dua saspek akan didakwa hari ini. – MalaysiaGazette