Datuk Seri Liow Tiong Lai

KAJANG – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini memberi jaminan bahawa semua lapangan terbang di Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan di semua lapangan terbang negara ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) di mana rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam, dibunuh pada 13 Feb lepas.

“Lapangan terbang kita selamat dan pemeriksaan mendapati tidak ada sebarang bahan toksik.

“Kita mahu memberitahu orang ramai supaya jangan risau, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kita akan terus mengukuhkan tahap keselamatan kita dari semasa ke semasa,” katanya sambil menyifatkan insiden pembunuhan Jong-nam sebagai kes terpencil.

Liow yang juga Presiden MCA ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Kajian Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, Selasa.

Turut hadir Canselor UTAR Tun Dr Ling Liong Sik dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.

Liow juga berkata pihaknya masih belum mendapat laporan mengenai pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air, yang dikenal pasti sebagai Kim Uk-il, 37, yang kini dicari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam.

Selain Uk-il, seorang lagi suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes itu ialah setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song yang berusia 44 tahun.

Jong-nam, yang hidup secara terasing daripada adiknya pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh dengan bahan kimia yang kemudian dikenal pasti oleh Jabatan Kimia sebagai agen saraf VX.

Satu operasi pemeriksaan terperinci dilakukan di klia2 oleh pasukan keselamatan termasuk Jabatan Forensik PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dari 1.45 pagi hingga 3 pagi pada Ahad.

Jong-nam berada di klia2 pada 8 pagi 13 Feb lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian, apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi agen saraf VX.

Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Beliau ke Malaysia pada 6 Feb lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.

Berikutan itu, polis menangkap dua wanita – seorang menggunakan pasport Indonesia dan seorang lagi menggunakan pasport Vietnam – serta seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang lelaki rakyat Korea Utara.

— BERNAMA