Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Pelaburan The Saudi Arabian Oil Co. (Aramco) dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor berjaya menangkis tuduhan pembangkang yang selama ini mendakwa syarikat berpangkalan di Arab Saudi itu kononnya akan menarik diri.

Pembangkang selama ini mendakwa pelaburan tersebut akan gagal namun keputusan menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) hari ini menangkis dakwaan tersebut sama sekali.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengalu-alukan kejayaan tersebut yang tidak mungkin direalisasikan tanpa usaha dari kerajaan negeri Johor dan Persekutuan.

“Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Saudi Aramco dan Petronas sebentar tadi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang sebelum ini yang mengatakan Saudi Aramco kononnya menarik diri adalah meleset sama sekali.

“Kejayaan ini tidak mampu direalisasikan tanpa ada usaha daripada kerajaan negeri dan Persekutuan terutama dalam menarik pelabur bertaraf global,” kata Azalina dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, pelaburan tersebut bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan.

“Saya bersama rakyat Pengerang rasa bersyukur kerana sudah pasti ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan.

“Kejayaan ini membuat Parlimen Pengerang akan terus menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara,” ujarnya.

Terdahulu, perjanjian yang dimerterai bakal menyaksikan Aramco melabur sebanyak AS$7 bilion selain membekalkan sehingga 70 peratus keperluan minyak mentah untuk loji penapisan minyak RAPID manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan oleh Petronas.-MalaysiaGazette