Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Multaqa Pendidikan dan Sosial Majlis Perundingan Islam (MPI) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2017

BANGI – Kerajaan akan mengambil pendekatan serius terhadap masalah sosial yang mencengkam masyarakat terutama penyalahgunaan dadah dan kanak-kanak tidak sah taraf.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang mencari acuan baharu dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan masalah sosial dalam kalangan masyarakat dapat dicegah sehingga terlaksananya Transformasi Nasional (TN50).

“Tahap serius terhadap masalah sosial tidak ada kajian menyeluruh tetapi kita harus mengambil kira bahawa soal kebejatan sosial ini sebagai elemen penting untuk diatasi kerana pelaksanaan TN50 pada 2050 dapat membentuk masyarakat seimbang yang saya nyatakan,” katanya dalam sidang media Multaqa Pendidikan dan Sosial Majlis Perundingan Islam (MPI) di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas Ahmad Zahid, keruntuhan sosial berada ditahap serius dan perlu diambil peduli secara mendalam oleh semua pihak.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri juga menggesa agar semua pihak komited mengambil sikap ambil tahu dan berusaha untuk menangani masalah sosial yang ada di negara ini.

“Pelan tindakan sosial Islam yang menyasarkan kepada sistem pendidikan untuk mengekal dan memodenkan acuan lama harus diperketatkan dan disuntik dengan elemen baharu bagi memastikan ejen pendidikan negara kita dibuat bagi membentuk personaliti atau sahsiah yang baik agar rakyat dapat diseimbangkan antara kemajuan didalam perbagai bidang dengan soal akhlak yang baik.

“Elemen baharu harus dicari dan kita tahu bahawa sistem yang ada akhirnya terus berlandaskan kepada orentasi peperiksaan. Banyak negara yang telah cuba sistem yang disebutkan tadi dan bukan harus diikuti sebagai acuan tetap tetapi kita lakukan pendekatan mengikut acuan negara kita berdasarkan kepelbagaian agama di negara ini.

“Sistem pendidikan yang ada dan suntikan formal atau tidak formal harus diberikan secara rasmi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bilangan kanak-kanak tidak sah taraf tahun lalu  seramai 343,000 orang malah terdapat ada kes dimana penyalahgunaan dadah berlaku kepada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun membuatkan kerajaan kena mengambil langkah serius.

“Kita kena ambil tahu dan kita harus komited untuk melakukannya. Contoh kes anak tidak sah taraf tidak boleh dianggap mudah. Ini bukan kes terpencil,” katanya lagi.-MalaysiaGazette