Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman fitnah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, portal video KiniTV dan akhbar New Straits Times (NST).

Tindakan saman itu difailkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu ekoran kes beliau digelar ‘sial’ oleh Khalid selepas insiden Tajuddin mendakwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang ada ‘kok’ di Parlimen pada 21 November lalu.

Dalam insiden perang mulut di Dewan Rakyat itu, Khalid mengadakan sidang akhbar di luar dewan selepas kejadian itu dengan mengulangi perkataan ‘sial’ terhadap Tajuddin dan mempersoalkan kelakuannya.

Saman yang bertarikh 22 Februari itu difailkan melalui firma guaman Murthi & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tajuddin mendakwa kenyataan Khalid sebagai fitnah kerana ia memberikan maksud tersirat bahawa Tajuddin sebagai antara lain, bukan seorang muslim yang baik, terkutuk ke neraka, tidak bermoral dan tidak layak menjadi seorang ahli parlimen dan timbalan menteri.

NST juga disaman kerana menyiarkan komen Khalid yang dibuat semasa sidang akhbar berkenaan.

Khalid dalam sidang media hari ini menyifatkan saman tersebut sebagai “kelakar”.

“Saya nak tunjuk betapa kelakarnya saman ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. -MalaysiaGazette