FGV
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM220 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2016 naik 13 peratus berbanding RM195 juta pada suku sama 2015.Bagi keseluruhan tahun kewangan 2016, kumpulan perladangan itu mencatatkan PBT sebanyak RM266 juta.

Pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 sebanyak RM17.28 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad.

Bagaimanapun, keuntungan bersih suku keempat FGV yang berakhir pada 31 Disember lalu merosot 21 peratus disebabkan cukai perladangan yang tinggi.

Manakala keuntungan bersih kumpulan perladangan itu pada tahun lalu sebanyak  RM110.6 juta berbanding RM140.7 juta pada tempoh sama tahun 2015.

Keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2016 jatuh berbanding 2015 disebabkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah, kenaikan kos gula mentah dan kerugian rosot nilai minyak sawit yang lebih tinggi.

FGV merekodkan pendapatan suku keempat FGV lebih tinggi pada RM5.2 bilion berbanding RM4.15 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat kepada RM219.63 juta daripada RM195.27 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Bagaimanapun, cukai adalah lebih tinggi pada RM114.1 juta pada suku keempat tahun lalu berbanding RM8.76 juta tahun yang lalu.

Keuntungan operasi jatuh 62 peratus akibat penurunan pendapatan operasi lain, perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi dan kerugian komoditi sebanyak RM37 juta pada suku keempat, walaupun pendapatan naik sebanyak 25 peratus kepada RM5.2 bilion berbanding RM4.1 bilion pada suku sama sebelumnya.

Kadar cukai berkesan 74 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 adalah lebih tinggi daripada kadar cukai pendapatan Malaysia sebanyak 24 peratus.

 “Ia disebabkan oleh perbelanjaan tertentu yang tidak dibenarkan, aset cukai tertunda tidak diiktiraf atas kerugian dalam anak syarikat tertentu dan usaha sama, dan penyahiktirafan aset cukai tertunda yang tidak lagi boleh digunakan,” kata FGV.

Bagi tahun penuh 2016, keuntungan bersih jatuh kepada RM29.61 juta daripada RM188.79 juta namun pendapatannya meningkat kepada RM17.28 bilion daripada RM15.56 bilion pada tahun kewangan 2015. – MalaysiaGazette