KUALA LUMPUR – Filem animasi BoboiBoy The Movie mencipta sejarah industri perfileman negara apabila ditayangkan di lebih 100 pawagam di seluruh Korea Selatan mulai hari ini.

BoboiBoy The Movie yang diterbitkan oleh Animonsta Studios Sdn. Bhd. atau kini lebih dikenali sebagai MONSTA merupakan filem pertama dari Malaysia yang berjaya menembusi pasaran negara itu.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata, filem itu juga dialih bahasa kepada Bahasa Korea.

“Sudah pasti ramai rakyat Malaysia akan berasa teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan filem ini yang dihasilkan 100% di Malaysia untuk ditayangkan di Korea.

“Korea Selatan menjadi negara kelima selepas Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Kutipan kasar untuk empat negara ini telah mencecah lebih RM19 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Faiz Zainal berkata, pihaknya amat yakin dengan koleksi tiket di Korea Selatan mampu menjadikan filem BoboiBoy The Movie selaku filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.

“Tayangan filem itu di sana juga bakal membantu penggiat seni dan karyawan dari Malaysia juga Asia Tenggara untuk menembusi pasaran di sana dan meluaskan lagi pasaran filem tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette