Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) kesal dengan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya mengenai pengaturan  kadar diskaun yang dipersetujui bagi harga alat ganti motor dan upah pekerja bagi kerja pembaikan kenderaan motor yang terlibat dalam kemalangan.

Ini kerana, keputusan yang dicadangkan itu akan memberi kesan kepada kepentingan awam.

Orang ramai kini mendapat manfaat daripada pengaturan yang dipersetujui bersama antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM).

Pengaturan tersebut ditetapkan sebagai maklum balas kepada arahan yang jelas daripada BNM kepada syarikat insurans am pada tahun 2011 untuk menyelesaikan pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans berhubung dengan pembayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan motor.

Pertikaian tersebut telah mengakibatkan kelewatan yang berpanjangan dalam kerja pembaikan dan menyebabkan kesulitan yang besar kepada pengguna.

BNM juga telah menerima aduan berhubung dengan kerja pembaikan yang kurang memuaskan.

Pada tahun 2011 sahaja, BNM juga menerima lebih daripada 500 aduan berhubung dengan perkara itu sebelum pelaksanaan pengaturan.

Aduan seumpama itu kini telah berkurang sebanyak 50 peratus, katanya.

Bank pusat itu menambah, pengaturan yang sama perlu untuk mencerminkan kos pembaikan yang berpatutan dalam persekitaran premium insurans motor yang dikawal oleh tarif.

“Tuntutan yang tidak wajar, sekiranya tidak dikawal dengan berkesan akan memerlukan pelarasan premium tarif yang ketara dan boleh memberi kesan kepada pengguna atau mungkin menyebabkan syarikat insurans am menarik diri sepenuhnya daripada pasaran insurans motor.

“Kejadian ini pernah berlaku pada tahun 2012 berkaitan dengan tuntutan kecederaan anggota pihak ketiga motor apabila lebih satu juta kenderaan motor dirujuk kepada kumpulan insurans motor bagi mendapatkan perlindungan berisiko yang ditolak, disebabkan kesulitan yang dihadapi pengguna untuk mendapatkan insurans motor pada kadar tarif semasa.

“BNM kemudiannya mendapatkan kelulusan kerajaan untuk melaksanakan semakan tarif secara berperingkat pada kadar kenaikan yang terhad. Tarif ini masih digunakan sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seperti yang diumumkan oleh BNM pada tahun 2016, langkah-langkah sedang diambil olehnya untuk melaksanakan pembaharuan yang menyeluruh dalam pasaran insurans motor, termasuk liberalisasi tarif insurans motor secara beransur-ansur.

Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan pasaran insurans motor yang lebih kompetitif dan pada masa yang sama memastikan premium insurans motor adalah berpatutan untuk jangka panjang.

Jelasnya, matlamat berkenaan sukar untuk dicapai tanpa pengaturan yang sesuai untuk mengawal tuntuan yang tidak wajar dan palsu, yang sedang ditangani sebagai sebahagian daripada pembaharuan.

BNM yakin bahawa kepentingan awam dapat dipenuhi melalui pembaharuan terhadap pasaran insurans motor yang berterusan.

“Apa-apa keputusan untuk mengkaji semula pengaturan ini secara berasingan daripada pembaharuan ini tanpa mengambil kira kepentingan pengguna akan menghalang orang ramai daripada mendapat manfaat penyelesaian tuntutan insurans motor yang diselesaikan dengan harga yang berpatutan dan mempunyai keyakinan terhadap kualiti kerja pembaikan.

“BNM akan terus mencari penyelesaian bagi isu ini demi kepentingan orang ramai,” tambahnya. – MalaysiaGazette