Kelihatan anggota polis mengawal pagar masuk sebelum media tempatan dan antarabangsa masuk ke dalam kompleks mahkamah berikutan suspek wanita Doan Thi Huong, 29, dan Siti Aishah, 25, masing-masing berasal dari Vietnam dan Indonesia untuk dibicara berkenaan terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MAC 2017

SEPANG – Kira-kira 100 media tempatan dan antarabangsa berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini bagi mengikuti pendakwaan ke atas dua wanita yang terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Kebanyakan pengamal media tiba seawal 4 pagi, malah ada yang sudah berkampung sejak malam tadi.

Polis juga kelihatan sudah membuat persiapan untuk memulakan pendaftaran kemasukan media.

Setiap organisasi media dibenarkan diwakili tiga orang sahaja.

Dua saspek wanita yang terlibat dalam kes pembunuhan Jong-nam itu adalah Doan Thi Huong, 29, dan Siti Aishah, 25, masing-masing berasal Vietnam dan Indonesia.

Dua wanita berkenaan telah direman sejak 16 Februari lalu bagi membantu siasatan kes berprofail tinggi itu.

Jong Nam abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-un meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada 13 Februari lalu selepas kepalanya diserkup.

Semasa kejadian, mangsa sedang menunggu penerbangan ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara mengesahkan analisa awal Jabatan Kimia mendapati Jong-nam mati akibat agen saraf VX. – MalaysiaGazette