Raja Arab Saudi, Raja Salman berjalan sambl dipayungi pengawal keselamatan dalam keadaan hujan lebat di Istana Presiden di Bogor, Indonesia semalam.

JAKARTA – Indonesia berharap pelaburan sekurang-kurangnya US$25 bilion dimeterai daripada Arab Saudi ekoran lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke republik berkenaan.

Bagaimanapun, menurut laporan The Jakarta Post, Indonesia hanya mendapat US$1 bilion sahaja daripada negara pengeluar minyak terbesar di dunia itu.

Walaupun Raja Salman dan Presiden Indonesia, Joko Widodo menyaksikan sebanyak 11 memorandum persefahaman (MoU) tetapi hanya satu sahaja daripadanya diluluskan bagi bantuan pelbagai projek infrastruktur di negara berkenaan.

Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi berkata, peruntukan $1 bilion bagi tujuan projek kerajaan termasuk pembangunan inftrasturktur dan projek pembersihan.

Apa yang pasti, jumlah pelaburan Arab Saudi di Indonesia jauh lebih rendah berbanding pelaburan negara itu di Malaysia bersama Aramco dan Petronas melibatkan saham projek petrokimia berjumlah $7 bilion.

Difahamkan, 10 lagi MoU lain akan dibincangkan dengan Indonesia dalam lawatan dan perbincangan susulan.

Selepas Malaysia, Raja Salman bersama 1,500 orang rombongannya melawat Indonesia semalam dan kemudiannya bercuti ke Bali yang dijangka bakal meningkatkan jumlah pelancong Arab pada masa depan.

Dalam pada itu, semasa majlis makan malam, Jokowi merakam video Raja Salman yang mengangap rakyat Indonesia merupakan saudara kepada Arab Saudi dan mereka orang yang disifatkan baginda rakyat yang mulia.-MalaysiaGazette