KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan berjumlah bernilai RM207.9 bilion pada tahun lalu, meningkat 7.7 peratus berbanding RM193 bilion tahun sebelumnua.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan yang diluluskan tahun lalu itu melibatkan 4,972 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Daripada jumlah pelaburan itu, 71.6 peratus atau RM148.9 bilion disumbangkan oleh pelabur domestik, dengan baki 28.4 peratus atau RM59.0 bilion daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, pelabur asing terus mendapat faedah daripada ekosistem Malaysia yang unik dan sinergi serantaunya dengan merekodkan 63.4 peratus FDI lebih tinggi tahun ke tahun berbanding RM36.1 bilion pada 2015.

“Salaupun pemintaan aggregat lemah, pasaran kewangan antarabangsa tidak menentu, harga komoditi yang rendah, ketidakpastian dasar ekonomi dan persaingan sengit di peringkat serantau namun Malaysia masih berjaya mengekalkan momentumnya,” katanya ketika mengumumkan prestasi tahunan 2016 Malaysia di sini.

Untuk itu, Mustapa berkata, Malaysia kini lebih memilih dalam agenda pelaburannya, projek berkualiti dalam ekosistem yang memberi kesan ketara dalam ekonomi domestik.

Ssumber utama FDI tahun lalu ialah dari Amerika Syarikat, Belanda, China, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom yang menyumbang 55.8 peratus daripada jumlah FDI yang diperoleh pada 2016.

Bagaimanapun, FDI dari negara ASEAN jatuh 27 peratus kepada RM7.8 bilion berbanding RM10.8 bilion pada 2015.

Dalam sektor pembuatan, 733 projek dengan pelaburan RM58.5 bilion diluluskan tahun lepas berbanding 680, dengan pelaburan RM74.7 bilion pada 2015.

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan pula meningkat 23.3 peratus kepada RM141.2 bilion pada 2016 dengan melibatkan sejumlah 4,199 projek dalam subsektor hartanah, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan telekomunikasi serta perkhidmatan sokongan. – MalaysiaGazette