Gambar Doan Thi Huong, yang memakai jaket kalis peluru dan dikawal rapi polis menimbulkan rasa simpati rakyat Vietnam kepadanya.

HANOI – Rakyat Vietnam mahu sokongan undang-undang diberikan kepada wanita negara itu yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Kim Jong Nam di Malaysia.

Doan Thi Huong, 28, seorang pekerja hiburan dari kawasan luar bandar di utara Vietnam, boleh digantung sampai mati jika didapati bersalah membantu membunuh saudara tiri pemimpin Korea Utara dalam pembunuhan lapangan terbang menggunakan agen saraf toksik.

Rakaman gambar yang menunjukkan Huong meninggalkan mahkamah dengan memakai jaket kalis peluru mengundang simpati dalam kalangan warga Vietnam dan desakan telah dibuat melalui media sosial agar bantuan disalur kepada wanita itu.

Kementerian Luar Vietnam berkata, pihaknya telah bertemu dengan keluarga Huong pada hari ini untuk menjelaskan tentang bantuan undang-undang yang akan disalurkan kepada wanita itu bagi melindungi hak-haknya.

“Kedutaan Vietnam di Malaysia akan terus melaksanakan langkah-langkah perlindunganĀ  untuk memastikan prosiding dijalankan secara adil dan objektif,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa pihak kedutaan sedang mencari peguam yang sesuai untuk Huong.

Huong dan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia dituduh membunuh Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, wakil-wakil kedutaan yang menemui mereka memaklumkan kedua-dua wanita terbabit mendakwa mereka dimaklumkan terlibat dalam rakaman komedi dan tidak ada niat membunuh.

Peguam Persekutuan Vietnam menghantar kenyataan kepada Kementerian Luar dan Keadilan untuk menawarkan bantuan.

Di laman media sosial pula, kempen yang telah dimulakan untuk mengumpul wang untuk menyokong Huong dan keluarganya.

Sesetengah mereka mengkritik pengendalian kes oleh Vietnam yang dibuat secara senyap berbanding Indonesia.

Kenyataan Kementerian Luar Vietnam hari ini adalah yang paling terperinci mengenai bantuan untuk Huong setakat ini – 10 hari selepas Malaysia memaklumkan telah menahan Huong dan mengesahkan dia dari Vietnam. – MalaysiaGazette