KUALA LUMPUR – Penyerang PKNS FC, Safee Sali jelas kecewa dengan insiden yang berlaku ketika pasukannya menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Dalam perlawanan, Safee terlibat dengan satu insiden panas ketika perlawanan sedang berlangsung.

Dia bercakaran dengan pemain Pahang iaitu Kiko Insa selepas pemain import itu melakukan terjahan berbahaya terhadap bekas penyerang kebangsaan itu.

Insiden panas itu nyata buatkan Safee naik angin dan mula bertindak balas.

Tidak habis di atas padang, Safee kemudiannya meluahkan perasaannya di laman Instagram miliknya untuk memberitahu perasaan kecewanya.

“Kalah menang memang adat permainan. Tapi kalaulah pengadil terus kejam macam ini memang tak ke manalah – hanya berpihak pada satu pasukan.”

“Insiden macam ini sepatutnya kad merah tapi itulah pengadil di Malaysia. Pemain itu (Kiko Insa) tidak punya hormat langsung. Ini ke kualiti pemain bola sepak?” luahnya.

Namun begitu apa yang mencuri tumpuan adalah komen daripada pemain Pahang iaitu Syamim Yahya.

Syamim memberikan komen yang nyata mencuri tumpuan para pengikut Safee di Instagram.

“Takkan nak penalti bos? Jauh dari kotak penalti tu,” komen Syamim.

Dalam perlawanan itu, Pahang menewaskan PKNS FC 3-0 hasil jaringan Matheus Alves, Afif Amirudin dan Ashari Shamsuddin. -MalaysiaGazette