TUn Dr Mahathir Mohamad bersama Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali terus mempersoalkan hasrat PPBM yang mahu bekerjasama tetapi pada masa sama Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahahir Mohamad setiap hari ‘berzikir’ menyerang mereka.

Dr. Mohd Khairuddin
Dr. Mohd Khairuddin

Khairuddin membidas Dr Mahathir sebagai tidak mempunyai adab untuk berunding sebaliknya perwatakan yang ditunjukkan seolah-olah mahu berperang dengan Pas dalam pilihan raya umum nanti.

“Nak berunding dengan Pas mudah sahaja, jangan serang Pas. Tapi Dr Mahathir hari-hari berzikir menyerang Pas.

“Itu bukan adab orang nak berunding, itu adab orang nak berperang… bagi saya Dr Mahathir tidak ikhlas nak berbincang,” kata Khairuddin kepada MalaysiaGazette berhubung kerjasama antara PPBM dengan Pas.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mendakwa mengetahui punca PPBM masih cuba menaruh harapan untuk melihat kerjasama dengan Pas berjaya, antaranya mereka tahu Pas sebuah parti yang mudah untuk dibawa berbincang berbeza dengan parti-parti pembangkang lain.

“Orang politik ini semua mabuk nak rebut kerusi, hanya Pas yang paling ringan dan mudah berbincang dengan orang,” katanya.

Beliau juga mengungkit kembali semasa di zaman Pakatan Rakyat sebelum ini di mana Pas menyerahan kerusi kepada DAP, malahan membenarkan mereka menggunakan jentera parti untuk tujuan berkempen.

“Banyak mana kerusi Pas diserahkan kepada Kit Siang (Lim Kit Siang) untuk mereka bertanding menggunakan jentera Pas. Itu menunjukkan Pas rakan politik yang baik,” dakwanya lagi.

Namun, Pas tidak boleh membiarkan begitu sahaja apabila DAP dilihat semakin melampau dan cuba masuk campur dalam hal dalaman parti tersebut, kata Khairuddin.

“Tapi sampai masa mereka kacau dalaman kita macam dibuat oleh DAP itu tidak boleh kita biar lah,” katanya.

Pas ketika ini masih lagi berunding dengan PPBM berhubung satu bentuk kerjasama dalam pilihan raya umum nanti, bagaimanapun wujud percanggahan memandangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi berunding dengan parti serpihan UMNO itu.

Dr Mahathir sebelum ini menuduh kemungkinan Pas sudah mendapat dedak sehingga menyebabkan mereka tidak mahu bergabung dengan Pakatan Harapan untuk melawan Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.

Beliau juga seolah memperkecilkan Himpunan RUU 355 anjuran Pas baru-baru ini dengan mendakwa himpunan Bersih lebih banyak lagi orang ramai hadir.

Diketahui umum Dr Mahathir seorang penentang keras dengan undang-undang Syariah dibawa oleh Pas sejak semasa pentadbirannya lagi. – MalaysiaGazette