Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata calon Speaker and Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sudah dikenalpasti.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini menafikan parti itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan menerusi penyertaan anggota Parlimen daripada UMNO.

KOTA BHARU – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan ada segelintir ahli Pas yang cuba untuk melihat kerjasama antara kedua-dua parti itu gagal.

Beliau yang berada di Kelantan buat masa ini berkata, parti itu masih dalam proses meneruskan rundingan dengan Pas malah berkata setiap rundingan yang diadakan oleh kedua-dua parti itu berjalan lancar dan positif.

“Namun, ada sesetengah pihak yang tidak terbabit dalam rundingan berkenaan sering mengeluarkan kenyataan negatif supaya kerjasama antara Pas dan PPBM ini tidak menjadi kenyataan,” katanya yang dipetik Berita Harian hari ini.

Kerjasama antara Pas dan PPBM masih menjadi teka teki apabila Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan menjalin hubungan dengan parti yang bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Terpulang kepada dia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP atau Amanah tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,” katanya pada 17 Februari lalu.

Dengan perkembangan itu, Mukhriz berkata PPBM masih menunggu keputusan Pas samada berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan parti itu atau sebaliknya.

“Pada asalnya, kita memberi tempoh sehingga 17 Mac ini sama ada Pas berminat atau sebaliknya untuk menjalin kerjasama. Namun, sekiranya keputusan positif diumumkan pada April nanti, kita tetap bersedia menerima Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Namun sementara menunggu keputusan Pas, kami tetap akan melakukan persiapan untuk menghadapi PRU-14 bersama Pakatan Harapan. PPBM perlu menjaga sensitiviti kedua-dua pihak memandangkan Pas, DAP dan Parti Amanah Negara adalah seteru dalam politik,” katanya.

Pas dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk mengadakan hubungan dengan PPBM hanya akan diputuskan dalam muktamar yang akan diadakan April ini di Kedah.

Malah hubungan tahaluf siyasi dengan PKR juga akan turut diputuskan oleh parti itu dalam acara sama. – MalaysiaGazette.