Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak perlu membuat tuduhan tidak berasas terhadap Datuk Seri Jamal Yunos hanya kerana pendedahan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbirannya.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membidas Azmin kerana tidak menjawab pendedahan dibuat oleh Pengerusi Gabungan NGO Selangor itu, malah beliau dicabar supaya mengambil tindakan undang-undang jika benar semua tuduhan salah guna kuasa itu tidak berlaku.

“Azmin perlu perjelaskan isu berkaitan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor kerana rakyat perlu tahu kebenarannya, dan beliau selaku Menteri Besar tidak boleh sekadar berdiam diri dan memeluk tubuh sahaja.

“Beberapa dokumen telah didedahkan mengundang persoalan yang perlu dijawab oleh Azmin iaitu menjelaskan benar atau tidak RM10 juta diseleweng dari dana warga emas, SMUE dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dimasukkan ke dalam akaun sembilan orang ahli parlimen pakatan pembangkang,” ujarnya yang juga Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M).

Armand mengulas berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Tambahnya, dakwaan ini berdasarkan sepucuk surat dari Perbendaharaan negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 kepada pengurus cawangan Ambank memohon membuka akaun SMUE untuk sembilan orang ahli pakatan pembangkang.

Azmin perlu menjawab dan menerangkan dari mana sumber RM10 juta ini diperolehi dan mana perginya wang RM10 juta yang dimasuk dalam akaun sembilan orang ahli parlimen Pakatan Harapan itu digunakan.

“Apakah benar diguna untuk tujuan kebajikan warga emas dan khairat kematian negeri Selangor atau pengunaan peribadi. Saya juga ingin mendesak Rafizi Ramli dan Tony Pua menjawap isu ini memandangkan mereka wakil rakyat daripada Selangor”, katanya.

Tegas beliau lagi persoalan yang bermain diminda rakyat, adakah pihak pakatan pembangkang mengambil pendekatan berdiam diri dan berpeluk tubuh kerana tahu ada penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Azmin di Selangor terutama dalam pengunaan dana  SMUE dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor.

“Saya dan rakyat Selangor juga mahu sembilan wakil rakyat pembangkang yang disabitkan harus ke hadapan dan menjawap pertuduhan ini dan berikan penjelasan kepada rakyat Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast