SANDAKAN – Keprihatinan kerajaan mengatasi masalah rakyat untuk memiliki rumah bukan sekadar ‘cakap kosong’ sebaliknya menjadikannya kenyataan menerusi pelaksanaan beberapa skim baharu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata skim itu diperkenal bagi membolehkan semua rakyat daripada kategori miskin, kumpulan B40 sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga
RM3,855 dan M40 yang berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 dapat memiliki rumah.
Bagi golongan miskin, katanya kerajaan membina rumah untuk mereka menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan konsep Sewa-Beli.
“Kadar sewa hanya RM124 sebulan manakala menerusi konsep sewa-beli, rakyat boleh membeli rumah dengan harga RM35,000 berbanding harga rumah RM150,000.
“Kita tidak boleh nafikan keperihatinan kerajaan terhadap rakyat terutamanya yang berkaitan masalah perumahan. Ia bukan cakap kosong tetapi kenyataan,” katanya pada perasmian Rumah PPR Taman Batu Sapi oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak di sini, hari ini.
PPR Taman Batu Sapi mempunyai 180 unit rumah termasuk lima unit untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
PPR itu turut dilengkapi kedai, gerai, dewan serbaguna, gelanggang sepak takraw dan bola tampar serta taman permainan kanak-kanak.
Noh berkata bagi kumpulan M40, dua skim diperkenal iaitu Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau Myhome dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama atau MyDeposit untuk pemilikan rumah pertama.
Katanya, kerajaan memberikan subsidi RM30,000 bagi golongan itu membeli rumah dengan harga RM300,000 ke bawah.
Sehingga kini, kerajaan sudah membelanjakan RM178 juta yang memanfaatkan 34,000 pembeli rumah bagi skim itu.
Bagi Skim MYdeposit, katanya, kerajaan menyediakan subsidi RM30,000 kepada pembeli rumah baharu dan rumah terpakai.
“Sehingga hari ini, kerajaan sudah memberikan subsidi RM14 juta kepada pembeli rumah di bawah skim ini,” katanya.
Noh juga berkata kerajaan perihatin dengan masalah rakyat yang membeli rumah swasta tetapi projek itu terbengkalai menyebabkan mereka sukar membayar pinjaman bank dan sewa rumah.
Sejak 2009 sehingga kini, sebanyak 262 projek perumahan dikendali pihak swasta terbengkalai di seluruh negara menyebabkan rakyat yang membelinya tidak dapat memiliki rumah.
Menurutnya kerajaan membelanjakan RM205 juta bagi memberi pembiayaan kepada rakyat yang tidak dapat memiliki rumah akibat terbengkalai.
Mengenai pembinaan PPR di Sabah, Noh berkata sebanyak 26 projek PPR telah dibina, lapan projek sedang pembinaan dan empat lagi projek sedang dirancang.
Kerajaan negeri Sabah bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat dalam menyediakan perumahan kepada rakyat menerusi PPR ini. – MalaysiaGazette