Dr. Asri dan Khairuddin berbincang sambil menikmati murtabak.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali hari ini menziarahi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin di kediamannya di Kangar, Perlis.

Perkara itu didedahkan oleh Asri menerusi laman Facebook dengan disertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan mereka duduk di ruang tamu sambil menikmati murtabak.

Lawatan itu dibuat di tengah-tengah kehangatan isu debat melibatkan mereka berdua.

“Pagi ini alhamdulillah, saya menerima kunjungan YB Dr Khairuddin at-Tikiri (MP Kuala Nerus Terengganu). Beliau menziarahi saya di kediaman saya di Kangar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau atas ziarah ukhuwah itu. Beliau datang sendirian dari jauh atas persahabatan antara kami.

“Selama dua jam kami berbincang penuh harmoni dan cuba sering memahami sudut pandang masing-masing. Selepas ziarah beliau terus berangkat pulang ke Terengganu. Semoga Allah memberikan keselamatan untuk perjalanannya,” tulisnya di ruangan status.

Perkara sama turut dimaklumkan oleh Khairuddin di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, menerusi perjumpaan itu mereka berdua sempat berbincang banyak perkara yang melibatkan politik tanah air dan agama, termasuk RUU 355.

“Alhamdulillah. Pagi ini sempat menziarahi sahabat saya Sohibus Samahah Dato’ Dr Asri di kediaman beliau di Kangar atas semangat ukhuwah yang sudah sekian lama terjalin.

“Banyak perkara dapat dibincangkan hampir 2 jam secara harmoni dalam suasana ukhuwah melibatkan pelbagai isu politik tanah air termasuk isu Pindaan Akta 355 untuk memahami sudut dan titik bersama yang mesti diperkasakan dan titik perbezaan yang boleh diambil sikap saling menghormati.

“Terima kasih atas persahabatan ini. Moga ziarah ini bermanfaat untuk Islam dan umatnya,” tulisnya.

Isu debat muncul selepas Khairuddin dalam satu ceramah di Kelantan hampir tiga minggu lalu berkata mahu berdebat dengan sesiapa sahaja berkaitan cadangan pindaan Akta 355.

Asri menegaskan, hanya akan berdialog dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pindaan RUU 355 dan bukan pemimpin lain dalam parti Islam itu.

Kenyataan Asri itu dibuat susulan gesaan supaya beliau menerima tawaran untuk berdebat dengan Khairuddin kerana bertentangan pendapat dalam isu undang-undang Islam itu. – MalaysiaGazette