Gambar edit menunjukkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berjalan atas karpet YDP Agong (kiri) manakala gambar sebenar disebelah kanan.

KUALA LUMPUR – Nampaknya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pun nampaknya tidak terlepas daripada fitnah zaman siber.

Baru-baru ini, gambar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengiringi Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam satu majlis.

Dalam satu gambar yang menjadi tular kelihatan Asyraf Wajdi berjalan di atas karpet merah yang disediakan untuk Yang Dipertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau menafikan gambar berkenaan dan mendakwa beliau difitnah.

“Gambar (rujuk gambar menjadi tular) apabila tersebar gambar Yang Dipertuan Agong berjalan tidak melalui karpet merah, pelbagai spekulasi dan persepsi dicetuskan dan dibahaskan.

“Sedangkan bagi yang berada di tempat kejadian mengetahui hakikat sebenar bagaimana Tuanku berjalan diatas karpet merah sebelum menuju kepada rakyat jelata yang ingin bersalaman dengan baginda,” ujarnya dalam status entri media sosialnya hari ini.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai berhati-hati dengan teknologi di hujung jari kerana ia mudah disalahgunakan.

“Zaman ledakan media sosial maklumat di hujung jari kini memerlukan kita sentiasa berpegang kepada prinsip al-Quran iaitu tabayyun bermaksud keperluan menyelidik dan menyemak secara tuntas satu-satu maklumat dan tidak mudah menerima apatah lagi menyebarkannya kerana boleh jadi fitnah yang memudaratkan,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette