Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya mengakui Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) adalah seorang yang muflis dan cuba memperbetulkan keadaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu menafikan ia dibuat ekoran tindakan Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang juga Presiden Gabungan NGO Selangor baru-baru ini.

Mohamed Azmin mendakwa pihaknya cuba memperbetulkan keadaan selepas membuat siasatan dan memanggil mereka yang terlibat untuk membuat penjelasan.

“Apabila kerajaan negeri menerima maklumat itu, pihak yang berkenaan telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Ia bukan kerana Jamal. Jamal (hanya membangkitkan perkara itu) minggu lepas. Kami telah lakukan siasatan dua bulan lalu,” kata Mohamed Azmin dipetik dalam laman Malaysiakini hari ini.

Minggu lalu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa pentadbiran Mohamed Azmin melantik individu yang sudah diisytiharkan muflis sejak tahun 2008 untuk mengendalikan yayasan kebajikan negeri tersebut

Pada sidang media di Shah Alam itu, Jamal menuntut Azmin menjelaskan kedudukan pengurus besar YAWAS, Kamsani Nasir.

Azmin adalah pengerusi pemegang amanah yayasan berkenaan.

Pada 16 Februari lalu, Jamal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana YAWAS.

Ia berhubung keraguan transaksi dana YAWAS berjumlah RM200 juta yang sepatutnya digunakan bagi program kebajikan rakyat Selangor, namun disalah gunakan apabila turut disalurkan kepada Ahli Parlimen PKR dan DAP di Kuala Lumpur.

Jamal turut mendakwa mempunyai bukti transaksi pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik bukan sahaja dibuat di sekitar Lembah Klang tetapi juga di Pulau Pinang dan Sabah.-MalaysiaGazette