Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik menyatakan kesediaannya berjumpa dan berdialog dengan peguam liberal, Siti Kassim dan juga kumpulan yang memfailkan saman terhadapnya bagi menghalang dan mengusir dari masuk ke Malaysia baru-baru ini.

Kesediaan itu dinyatakan oleh Dr Zakir kepada Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya dalam satu entri Facebooknya selepas membuat tawaran kepada kumpulan tersebut untuk menemukan mereka dengan pendakwah itu.

“Saya telah maklumkan kpd Dr Zakir Naik tentang cadangan saya supaya Siti Kassim&Asiah Jalil bertemu beliau. Dan ini jawapan beliau………..”.

Beliau kemudiaan memuat naik paparan skrin aplikasi WhatsApp perbualannya bersama Dr Zakir berhubung pertemuan yang bakal diaturkan nanti.

“Saya mengajak Siti Kassim dan Asiah Jalil untuk berjumpa kamu (Dr Zakir),” tulisnya.

Kemudiaan, Dr Zakir membalas bersetuju dengan cadangan pertemuan tersebut.

“Jika kamu fikir ia membuahkan hasil baik dengan niat mereka ia bagus dan saya tidak kisah untuk bertemu dengan mereka,” balas Dr Zakir.

Semalam, Fathul Bari berkata, beliau mempunyai hubungan agak rapat dengan Dr Zakir dan sekiranya kumpulan itu tidak berpuas hati beliau menawarkan kumpulan itu untuk berjumpa serta berdialog bagi memberi mereka peluang untuk membangkitkan perkara yang dirasakan mereka tidak bersetuju.

Kumpulan yang menyaman itu terdiri daripada Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Mereka menuntut perintah penangkapan dan pengusiran Dr Zakir, kumpulan aktivis itu juga memohon pembatalan status pemastautin tetap Malaysia yang diberikan kepada pendakwah itu. – MalaysiaGazette